Assalamualaikum wbt,
Rasanya sudah lama juga saya tidak
menggunakan papan kekunci laptop ini untuk menaip. Tambahan pula, saya memang
seorang yang sangat jarang menulis (menulis status di media sosial contohnya,
apatah lagi menceburkan diri secara serius dalam penulisan blog). Ya, mungkin
sebab itulah jika saya menulis sebarang status di FB misalnya, bahasanya
kelihatan agak kaku dan seringkali saya mengambil masa yang agak lama untuk
menulis dan mengedit penulisan tersebut. Saya sebenarnya berminat juga untuk
menulis terutama penulisan dalam bahasa Arab. Tapi apa yang saya tulis itu
biasa-biasa sahajalah.
Sebelum ini, saya ada menulis beberapa perenggan
pendek bahasa Arab. Ia bermula semenjak saya menyertai daurah bahasa Arab yang
dibimbing oleh Ustaz Muhammad, seorang senior jurusan Bahasa Arab yang amat
saya kagumi sejak tahun pertama ijazah lagi. Dalam daurah tersebut, beliau
mengarahkan kami (pelajar –pelajar yang menyertai daurah) agar menulis sebuah perenggan dalam
bahasa Arab berkenaan apa-apa sahaja tajuk yang kami ingin untuk diperdengarkan
kepada sahabat-sahabat dan diperbetulkan oleh beliau. Saya masih ingat lagi
ketika itu, saya menulis tentang sabar dan syukur. Antara sebab saya menulis
tajuk itu kerana ketika itu saya sangat terkesan dan termotivasi dengan beliau.
Saya menulis untuk menasihati diri agar menjadi seorang yang lebih bersyukur
dan bersabar dalam menempuh kesusahan dalam menuntut ilmu seperti beliau.
Beliau seorang yang berlatar belakangkan keluarga susah namun sangat
bersungguh-sungguh dan tidak pernah memberi alasan dalam menuntut ilmu. Pengetahuan
bahasa Arabnya sangat luas, begitu juga pengetahuan agamanya khususnya ilmu
tentang al-Quran. Allahu, jika nak dibandingkan dengan saya yang biasa-biasa
ni, rendah diri rasanya. Saya juga pernah mendengar cerita dari kawan-kawan bahawa
beliau yang sangat mencintai ilmu ini sering berjalan kaki ke Masjid Sunnah (sebuah
masjid di Rabat), yang agak jauh dari rumah sewa yang didiami pelajar lelaki
Rabat untuk menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di sana. Jarak antara rumah sewa dan Masjid Sunnah sebenarnya
agak jauh. Dan seringkali pengangkutan yang biasa digunakan oleh para pelajar ialah
teksi saghir, namun kesempitannya dalam kewangan menyebabkan beliau sering
berjalan kaki ke mana-mana untuk menjimatkan wang. Semoga Allah memudahkan
urusannya.
Berbalik semula kepada penulisan bahasa
Arab tadi, saya sebenarnya ada menulis blog (blog ini) tetapi penulisan saya sangat
sedikit (mungkin kerana kurangnya mengulangkaji semula ilmu-ilmu yang telah
dipelajari (Allahu) dan mungkin juga kerana
ilmu saya yang sangatlah sedikit. Agak lama juga sebenarnya saya tidak mengupdate blog.
InsyaAllah, saya berniat untuk mula menulis semula post-post berkaitan
bahasa Arab agar manfaatnya dapat dikongsi bersama dan sebagai rujukan
ulangkaji saya kerana saya sangat percaya bahawa ilmu yang dipelajari perlu dikongsi,diulangkaji
dan ditulis agar lebih diingati kerana
مَا حُفِظَ فَرَّ وَمَا كُتِبَ
قَرَّ
Maksudnya : Apa yang dihafal
itu boleh hilang dari ingatan namun apa yang ditulis itu kekal.
Segulung ijazah itu bagi saya sia-sia jika
ilmu yang dipelajari hanya sekadar untuk lulus dalam peperiksaan. Hatta walau seexcellent
mana pun kita (dalam peperiksaan), tetapi jika ilmu itu tidak dapat
dimanfaatkan dan dikongsi untuk kebaikan orang lain alangkah ruginya kita. Membaca
bahan bacaan dalam bidang ilmu lain juga penting untuk menambah pengetahuan
selain pentingnya menguasai bidang sendiri. Dalam mempelajari bahasa Arab
contohnya, selain daripada menguasai Nahu, Sorof dan Balaghah pelajar juga
perlu banyak membaca bahan bacaan seperti syair,novel,cerpen dan pelbagai
bentuk teks Arab yang lain bagi tujuan memperbanyak dan menambah kosa kata.
Selain itu, mendengar audio atau menonton video-video, kartun dan movie dalam
bahasa Arab juga merupakan antara alternatif yang agak baik untuk mempelajari
bahasa Arab (melalui hiburan). Melalui cara ini, pelajar dapat mengambil dan
mempraktikkan input-input baru berkenaan uslub yang digunakan oleh orang Arab
dalam pertuturan.
Sebelum mengakhiri entri ini, saya ingin memetik
kata-kata Saidina Umar r.a :
تَعَلَّمُوا الْعَرَبِيَّةَ فَإِنَّهَا
جُزْءٌ مِنْ دِينِكُمْ
Maksudnya : Pelajarilah bahasa
Arab kerana ia adalah sebahagian daripada agama kamu.
Semoga kita terus bersemangat dalam mempelajari
bahasa Arab ini dan semoga Allah mempermudah usaha kecil saya untuk menulis
blog ini. Dan semoga usaha yang sedikit ini dapat menambahkan kecintaan kita
sebagai umat Islam terhadap al-Quran dan bahasa Arab. Aamiiin ya Rabbal A’lamin.
*Nota kaki : Saya mengharapkan teguran atau
cadangan penambaikan daripada pembaca jika terdapat sebarang kekurangan dalam
penulisan blog ini untuk saya baiki dari masa ke semasa. Tk. Wassalam.
No comments:
Post a Comment